Covid-19: 9 kes positif dan 3 individu pulih

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 1 Ogos: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa sebanyak 9 kes positif Covid-19 dilaporkan hari ini melibatkan tujuh kes import dan dua kes penularan dalam negara.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata angka terkini itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif sebanyak 8,985 kes.


Dengan itu katanya, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan sebanyak 213 kes.

“Ingin dimaklumkan daripada 9 kes baharu yang dilaporkan, tujuh (7) kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan lima (5) warganegara Malaysia dan dua (2) bukan warganegara.

“Tujuh kes import tersebut adalah dari India (2 kes), Emiriah Arab Bersatu, Jepun, Switzerland, Filipina dan Pakistan.

“Dari dua (2) kes penularan di dalam negara, satu kes adalah di kalangan warganegara Malaysia dan satu kes adalah di kalangan bukan warganegara Malaysia,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Tambah Dr Noor Hisham, tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes berkenaan kekal 125 kes.

Beliau turut memaklumkan sebanyak tiga kes pulih dan dibenarkan discaj menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 8,647 kes atau 96.24 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sehingga kini, terdapat tiga kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan satu kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.-DayakDaily