Covid-19: 871 kes positif baharu, 7 kematian dan 701 pulih

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 18 Okt: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan terdapat 871 kes positif baharu Covid-19 di Malaysia hari ini iaitu jumlah tertinggi pernah direkodkan setakat ini.

Tujuh kematian akibat pandemik dilaporkan setakat 12 tengah hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kematian meningkat kepada 187 kes atau 0.91 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.


Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes positif baharu itu menjadikan keseluruhan kes kini melepasi angka 20,000 iaitu 20,498 kes dengan kes aktif kebolehjangkitan meningkat kepada 7,049.

Katanya, daripada 871 kes baharu hari ini, sebanyak 866 kes adalah merupakan penularan tempatan manakala lima adalah kes import.

“Secara keseluruhan, sebanyak 97 kes pada hari ini adalah daripada Kluster Tembok, Kluster Penjara Reman, Kluster Penjara Seberang Perai dan Kluster Penjara Kepayan.

“Kes-kes ini sememangnya terasing di dalam penjara dan tidak menjangkiti masyarakat.

“Manakala, negeri-negeri di Lembah Klang pula merangkumi 9.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Jika dilihat pecahan utama jumlah kes hari ini pula, Negeri Sabah terus mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu 702 kes iaitu 80.6 peratus,” kata Dr Noor Hisham dalam satu sidang media hari ini.

Tambah beliau lagi, sehingga kini ada 86 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dimana 28 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau turut memaklumkan bahawa sebanyak 701 kes pulih dilaporkan hari ini dan ia adalah jumlah kes sembuh tertinggi pernah dilaporkan dalam satu hari.

“Ini menjadikan jumlah kes pulih sebanyak 13,262 kes bersamaan 64.70 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” kata Dr Noor Hisham.

Ujar beliau lagi, daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan(CPRC) terdapat tujuh kes kematian berkaitan Covid-19 hari ini dengan enam kematian direkodkan di Sabah manakala satu kes dilaporkan di Selangor.

Sementara itu katanya, KKM hari ini turut mengenalpasti empat kluster baharu iaitu Kluster Bah Layangan di Labuan, Kluster Alma (Pulau Pinang), Kluster Auto (melibatkan daerah di Selangor dan Negeri Sembilan) dan Kluster Penjara Kepayan di Kota Kinabalu, Sabah. — DayakDaily