Covid-19: 835 kes positif baharu, 2 kematian dan 2 kluster baharu

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

KUCHING, 27 Okt: Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan bahawa terdapat 835 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan hari ini.

Menurut beliau, ia melibatkan 830 kes tempatan dan lima kes import.

“Kes positif terkini itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif adalah sebanyak 28,640 kes.


“Dengan itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah sebanyak 9,903 kes,” katanya semasa satu sidang media di Putrajaya hari ini.

Tambah Dr Noor Hisham, terdapat pertambahan dua kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes berkenaan 238 kes.

“Dukacita dimaklumkan terdapat dua kes kematian dilaporkan pada hari ini melibatkan satu kes warganegara lelaki berumur 82 tahun dan satu kes bukan warganegara perempuan berumur 53 tahun.

“Kedua-dua kes dilaporkan dari Hospital Tawau, Sabah. KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mereka,” ujar beliau.

Sabah kekal mencatatkan jumlah tertinggi kes positif harian dengan 410 kes, diikuti Negeri Sembilan (155), Selangor (126), Labuan (76), Sarawak (16), Pulau Pinang (13), Perak (11), Kuala Lumpur (11), Johor(8), Kedah (4), Terengganu(4) dan Putrajaya (1).

Dr Noor Hisham turut memaklumkan sebanyak 674 kes pulih dan dibenarkan discaj menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 18,499 kes atau 64.59 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sehingga kini, terdapat 89 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 32 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa terdapat dua kluster baharu dilaporkan hari ini iaitu Kluster Lintas di Sabah dan Kluster Limbungan di Labuan.

Ujar Dr Noor Hisham, setakat ini jumlah kes positif dalam kluster-kluster ini adalah sebanyak 26 kes. — DayakDaily