Covid-19: 7 kes positif baharu manakala 26 individu pulih

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 18 Ogos: Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan bahawa terdapat tujuh kes baharu positif Covid-19 dilaporkan hari ini.

Katanya, ia melibatkan tiga kes penularan dalam negara dan empat kes import.


“Kes positif terkini itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif adalah sebanyak 9,219 kes.

“Dengan itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah sebanyak 192 kes,” katanya dalam satu sidang media di Putrajaya hari ini.

Jelas Dr Noor Hisham, semua tiga kes penularan dalam negara adalah melibatkan warganegara.

Manakala empat kes import pula melibatkan satu kes warganegara dan tiga kes bukan warganegara.

Tambah beliau, tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes berkenaan kekal 125 kes.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan sebanyak 26 kes pulih dan dibenarkan discaj menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 8,902 kes atau 96.56 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sehingga kini, terdapat lapan kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan dua kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya. — DayakDaily