Covid-19: 61 kes pulih dengan 93 kes baharu, tiada kematian

Dr Noor Hisham addressing the media during a press conference. Screenshot taken from a Radio Television Malaysia (RTM) broadcast.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 3 JUN:Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa terdapat 61 kes yang telah pulih Covid-19 dan dibenarkan discaj pada hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, angka itu menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya daripada jangkitan Covid-19 dan discaj dari wad adalah sebanyak 6, 531 kes.

Katanya, ia bersamaan 81.94 peratus daripada jumlah keseluruhan kes positif Covid-19.

“Sehingga 3 Jun 2020 jam 12:00 tengah hari, terdapat 93 kes baharu yang telah dilaporkan dan ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 7, 970 kes.

“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,324 kes dan mereka telah diasingkan dan diberi rawatan,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata semua 93 kes baharu tersebut adalah penularan di dalam negara dimana 91 kes adalah melibatkan bukan warganegara.

Menurut beliau, 55 kes ialah dari depoh tahanan imigresen Bukit Jalil dan 36 kes dari kluster Pedas, Negeri Sembilan.

“Hanya dua kes adalah di kalangan warganegara Malaysia iaitu satu ke saringan kluster Tahfis dan satu kes dari kluster Pasar.

”Sehingga kini, sebanyak 6 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi(ICU). Daripada jumlah tersebut, 2 kes memerlukan bantuan pernafasan,” ujar beliau.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan bahawa tiada kematian dilaporkan ke Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) hari ini.

Justeru katanya, jumlah kes kematian di Malaysia kekal 115 kes iaitu bersamaan dengan 1.44 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. DayakDaily