Covid-19: 60 kes pulih dengan 31 kes baharu, tiada kematian

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

KUCHING, Mei 20: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa terdapat 60 kes yang telah pulih Covid-19 dan dibenarkan discaj di seluruh negara pada hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, angka itu menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya dari jangkitan Covid-19 dan discaj dari wad meningkat kepada 5,706 kes.

Katanya, ia bersamaan 81.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes positif Covid-19.


“Sehingga 20 Mei 2020 jam 12:00 tengah hari, terdapat 31 kes baharu yang telah dilaporkan; ia menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 7,009 kes.

“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,189 kes,” katanya pada sidang media harian di Putrajaya hari ini.

Menurut Dr Noor Hisham lagi, daripada 31 kes baharu tersebut, 10 adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara, manakala 21 kes adalah penularan tempatan di mana 10 kes melibatkan bukan warganegara dan 11 kes adalah warga negara Malaysia.

“Seramai 11 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, tujuh kes memerlukan bantuan pernafasan,” ujar beliau.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan bahawa tiada kematian dilaporkan ke Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) hari ini.

Justeru katanya, jumlah kes kematian di Malaysia kekal 113 kes iaitu bersamaan dengan 1.64 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. — DayakDaily