Covid-19: 59 kes pulih dengan 22 kes baharu, tiada kematian

Dr Noor Hisham pada sidang media harian di Putrajaya. (gambar fail)

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Mei 17: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan pertambahan 59 kes pulih Covid-19 dan dibenarkan discaj di seluruh negara pada hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, angka itu menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya dari jangkitan Covid-19 dan discaj dari wad meningkat kepada 5, 571 kes.

Katanya, ia bersamaan 80.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes positif Covid-19.

“Sehingga 17 Mei, 2020 pukul 12 tengah hari, terdapat 22 kes baharu yang telah dilaporkan, ia menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 6,894 kes.

“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,210 kes.

“Seramai 13 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, 7 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya pada sidang media harian di Putrajaya hari ini.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan bahawa tiada kematian dilaporkan ke Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) hari ini.

Justeru katanya, jumlah kes kematian di Malaysia kekal 113 kes, iaitu bersamaan dengan 1.64 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. – DayakDaily