Covid-19: 57 kes positif baharu dengan 40 individu pulih

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 21 Sept: Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan bahawa terdapat 57 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan hari ini.

Menurut beliau, ia melibatkan 51 kes tempatan dan enam kes import.


“Kes positif terkini itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif adalah sebanyak 10,276 kes.

“Dengan itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah sebanyak 751 kes,” katanya menerusi satu kenyataan.

Jelas Dr Noor Hisham, 51 kes tempatan adalah melibatkan 45 warganegara dan enam bukan warganegara, manakala enam kes import pula melibatkan satu warganegara dan lima bukan warganegara.

Tambah beliau, tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes berkenaan kekal 130 kes.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan sebanyak 40 kes pulih dan dibenarkan discaj menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 9,395 kes atau 91.43 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sehingga kini, terdapat sembilan kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU)dan dua kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya. — DayakDaily