Covid-19: 55 kes pulih dengan 94 kes baharu

Filepix

Oleh Chris Bishop

KUCHING, April 29: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan pertambahan 55 kes pulih Covid-19 dan dibenarkan discaj di seluruh negara pada hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, angka itu menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya dari jangkitan Covid-19 dan discaj dari wad meningkat kepada 4,087 kes.


Katanya, ia bersamaan 68.75 peratus daripada jumlah keseluruhan kes positif Covid-19.

“Sehingga 29 April 2020 pukul 12.00 tengah hari, terdapat 94 kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 5,945 kes.

“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,758 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

“Seramai 40 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, 18 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya pada sidang media harian di Putrajaya hari ini.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan bahawa tiada kematian dilaporkan ke Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) hari ini.

Justeru katanya, jumlah kes kematian di Malaysia kekal 100 kes.

Mengulas lanjut beliau berkata daripada jumlah 94 kes baharu hari ini, 72 adalah merupakan kes impot melibatkan warganegara dan pelajar Malaysia yang pulang daripada Indonesia.

“Ini bermakna kes penularan tempatan adalah 22 kes sahaja,” ujar Dr Noor Hisham. — DayakDaily