Covid-19: 54 pulih dengan 41 kes baharu

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

KUCHING, Jun 15: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa terdapat 54 kes yang telah pulih Covid-19 dan dibenarkan discaj pada hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya daripada jangkitan Covid-19 dan discaj dari wad adalah sebanyak 7,400 kes.

Katanya, ia bersamaan 87.10 peratus daripada jumlah keseluruhan kes positif Covid-19.


“Sehingga Jun 15 jam 12 tengah hari, terdapat 41 kes baharu yang telah dilaporkan dan ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 8,494 kes.

“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 973 kes dan mereka telah diasingkan dan diberi rawatan,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata daripada 41 kes baharu tersebut, tiga kes adalah kes import dikalangan warganegara yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Daripada 38 kes penularan dalam negara, 32 kes adalah bukan warganegara manakala enam kes adalah dikalangan warganegara Malaysia.

“Sehingga kini, sebanyak empat kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada kes yang memerlukan bantuan pernafasan,” ujar beliau.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan bahawa tiada kematian dilaporkan ke Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) hari ini.

Justeru katanya, jumlah kes kematian di Malaysia kekal 121 kes iaitu bersamaan dengan 1.42 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. — DayakDaily