Covid-19: 5 individu pulih dengan 3 kes baharu, tiada kematian

Dr Noor Hisham Filepix

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 8 JULAI: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa terdapat 5 kes yang telah pulih Covid-19 dan dibenarkan discaj di seluruh negara pada hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, angka itu menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya dari jangkitan Covid-19 dan discaj dari wad meningkat kepada 8,486 kes.


Katanya, ia bersamaan 97.80 peratus daripada jumlah keseluruhan kes positif Covid-19.

“Sehingga 8 Julai 2020 pukul 12:00 tengah hari, terdapat 3 kes baharu yang telah dilaporkan, ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 8,677 kes.

“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 70 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan,” katanya pada sidang media hari ini.

Menurut Dr Noor Hisham, kesemua 3 kes baharu yang dilaporkan adalah merupakan kes import melibatkan warganegara yang pulang dari luar negeri.

“Sehingga kini 2 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi(ICU) dan 1 kes memerlukan bantuan pernafasan,” ujar beliau.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan bahawa tiada kematian dilaporkan ke PusatKesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan(CPRC) hari ini.

Justeru katanya, jumlah kes kematian di Malaysia kekal 121 kes iaitu bersamaan dengan 1.39 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.—DayakDaily