Covid-19: 489 kes positif baharu dan 74 individu pulih

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 7 Okt: Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan bahawa terdapat 489 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan hari ini.

Menurut beliau, ia melibatkan 487 kes tempatan dan dua kes import.


“Kes positif terkini itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif adalah sebanyak 13,993 kes.

“Dengan itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah sebanyak 3,351 kes.

“Kebanyakan kes adalah daripada Kedah dari Kluster Tembok dan Sabah dari zon-zon merah,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Jelas Dr Noor Hisham, semua 487 kes tempatan adalah melibatkan 467 kes warganegara dan 20 kes bukan warganegara.

Manakala dua kes import pula melibatkan satu kes warganegara dan satu kes bukan warganegara.

Tambah beliau, tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes berkenaan kekal 141 kes.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan sebanyak 74 kes pulih dan dibenarkan discaj menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 10,501 kes atau 75.04 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sehingga kini, terdapat 40 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 13 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya. — DayakDaily