Covid-19: 4,275 kes baharu dan 4,313 pulih

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

KUCHING, 23 Jan: Malaysia hari ini mencatatkan satu lagi kes harian tertinggi positif Covid-19 dengan 4,275 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia melibatkan 4,264 kes tempatan dan 11 kes import.

“Kes positif terkini itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif adalah sebanyak 180,455 kes.


“Dengan itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah sebanyak 42,769 kes,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Selangor melaporkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 1,421 kes. Ini diikuti oleh Kuala Lumpur sebanyak 458 kes dan Sabah sebanyak 498 kes.

Tambah Dr Noor Hisham, kes sembuh harian juga mencatat jumlah tertinggi sejak pandemik dengan 4,313 kes.

Ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 137,019 kes atau 75.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sehingga kini, terdapat 260 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk 103 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan terdapat pertambahan tujuh kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes berkenaan 667 kes.

“Dukacita dimaklumkan terdapat tujuh kes kematian dilaporkan hari ini melibatkan kesemua kes warganegara.

“Kes-kes kematian pada hari ini melibatkan masing-masing dua kes dari Selangor dan Johor serta masing-masing satu kes dari Melaka, Sarawak dan Wialayah Persekutuan Kuala Lumpur. KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mangsa,” ujar beliau.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan terdapat 11 kluster baharu dilaporkan hari ini yang melibatkan 383 kes baharu. — DayakDaily