Covid-19: 4 kes kematian, 90 pulih

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

KUCHING, April 5: Malaysia hari ini mencatatkan empat lagi kematian akibat Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia menjadikan jumlah kumulatif keseluruhan sebanyak 61 kes kematian.

“Kes kematian ke-58 (kes ke-2,210) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 72 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan darah tinggi.


“Beliau mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif Covid-19 (kes ke-1,031) dan telah dirawat di Hospital Umum Sarawak pada 27 Mac 2020, disahkan meninggal dunia pada 4 April 2020, jam 1.37 tengah hari,” katanya

Beliau berkata demikian pada sidang media harian berkaitan Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Tambah Dr Noor Hisham, kes kematian ke-59 (kes ke-3,484) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 68 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis.

Katanya, beliau telah dirawat di Hospital Kuala Lumpur pada 27 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 4 April 2020, jam 3.40 petang.

“Manakala kes kematian ke-60 (kes ke-3,073) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 53 tahun. Beliau telah dirawat di Hospital Umum Sarawak pada 31 Mac 2020. Beliau disahkan meninggal dunia pada 5 April 2020, jam 12.39 pagi.

“Kes kematian ke-61 (kes ke-2,200) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 66 tahun dan mempunyai latar belakang kencing manis, darah tinggi dan penyakit buah pinggang.

“Beliau telah dirawat di Hospital Keningau, Sabah pada 26 Mac 2020. Beliau disahkan meninggal dunia pada 4 April 2020 jam 9.36 malam,” ujar beliau.

Setakat hari ini menurut Dr Noor Hisham, 179 kes baharu Covid-19 dilaporkan dengan 90 kes pulih dan dibenarkan keluar hospital.

Ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 3,662 kes.

“Daripada 179 kes ini, 46 adalah berkaitan dengan perhimpunan Seri Petaling,” katanya. — DayakDaily