Oleh Chris Bishop
KUCHING, Mac 25: Sebanyak 3,585 katil di 34 buah hospital di seluruh negara telah disediakan untuk menerima pesakit-pesakit Covid-19.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia sebahagian daripada persiapan yang diambil oleh Kementerian Kesihatan untuk menangani wabak tersebut.
Menurut Muhyiddin, pelbagai persiapan diambil setelah kerajaan menjangkakan kes-kes baharu positif Covid-19 akan terus dicatatkan dalam masa yang terdekat.
āPada masa ini, 34 peratus daripada kapasiti katil hospital telah digunakan, dengan baki sebanyak 66 peratus lagi yang masih boleh menampung pesakit.
āJika berlaku pertambahan jumlah kes positif Covid-19 melebihi kapasiti yang ada di hospital, beberapa tempat telah dikenalpasti untuk dijadikan pusat pengasingan dan kuarantin sementara,ā katanya dalam satu perutusan khas di Putrajaya hari ini.
Tambah beliau, semasa taklimat oleh pihak Majlis Keselamatan Negara, kes-kes positif Covid-19 dijangka meningkat lebih tinggi sekiranya pihak kerajaan tidak melakukan apa-apa.
Kata Muhyiddin, jumlahnya mungkin meningkat berkali-kali ganda lagi seperti yang berlaku di beberapa buah negara lain.
āDari satu segi, perintah kawalan pergerakan yang kita ambil telah sedikit sebanyak berjaya mengawal penularan wabak ini.
āNamun, kita tidak boleh berpuas hati dengan langkah-langkah yang kita ambil pada masa ini sehinggalah kita berjaya mencatatkan sifar kes baharu,ā ujar beliau.
Justeru, tegas Muhyiddin, strategi kerajaan ialah untuk mencari, menyaring, mengasing dan merawat pesakit Covid-19.
Tambah beliau lagi, Kementerian Kesihatan akan meningkatkan kapasiti untuk melakukan ujian saringan pada skala yang lebih besar.
Ini termasuk melakukan āmass testingā khususnya di kawasan-kawasan yang berisiko tinggi.
āDengan kata lain, kita ingin mencegah jangkitan. Strategi ini akan berjaya sekiranya orang ramai tidak terdedah kepada jangkitan virus ini menerusi pergaulan harian.
āJusteru, saudara-saudari mesti bersedia secara mental dan fizikal untuk duduk diam-diam di rumah bagi tempoh yang agak lebih lama,ā ujar Muhyiddin. ā DayakDaily