Covid-19: 281 kes pulih, jumlah tertinggi setakat ini

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Jun 9: Malaysia hari ini mencatatkan jumlah kes pulih Covid-19 dan discaj daripada wad tertinggi iaitu 281 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya daripada jangkitan Covid-19 dan discaj dari wad adalah sebanyak 6,925 kes.


Katanya, ia bersamaan 83.70 peratus daripada jumlah keseluruhan kes positif Covid-19.

“Sehingga 9 Jun 2020 jam 12 tengah hari, terdapat tujuh kes baharu yang telah dilaporkan dan ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 8,336 kes.

“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,244 kes dan mereka telah diasingkan dan diberi rawatan,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata daripada tujuh kes baharu tersebut, enam adalah kes import yang mendapat jangkitan daripada luar negara.

Pada hari ini, katanya, tiada kes penularan dalam negara dicatatkan di kalangan warganegara Malaysia.

“Satu kes kes penularan di dalam negara adalah seorang pekerja bukan warganegara iaitu kes saringan untuk mula bekerja.

”Sehingga kini, sebanyak enam kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, satu kes memerlukan bantuan pernafasan,” ujar beliau.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan bahawa tiada kematian dilaporkan ke Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) hari ini.

Justeru, katanya, jumlah kes kematian di Malaysia kekal 117 kes iaitu bersamaan dengan 1.40 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. — DayakDaily