Covid-19: 2,764 kes baharu dan 13 kematian

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

KUCHING, 9 Feb: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa terdapat 2,764 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia melibatkan 2,758 kes tempatan dan enam kes import.

ā€œKes positif terkini itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif adalah sebanyak 248,316 kes. Dengan itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah sebanyak 50,841 kes,ā€ katanya pada satu sidang media di Putrajaya hari ini.


Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 862 kes. Ini diikuti oleh Johor dengan 521 kes dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan 422 kes.

Tambah Dr Noor Hisham, terdapat sebanyak 3,887 kes pulih dan dibenarkan discaj menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 196,566 kes atau 78.5 daripada jumlah keseluruhan kes.

ā€œSehingga kini, terdapat 289 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk 127 kes memerlukan bantuan pernafasan,ā€ katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan terdapat pertambahan 13 kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes berkenaan 909 kes.

ā€œKes-kes kematian pada hari ini melibatkan enam kes di Selangor, masing-masing dua kes di Sabah, Sarawak, dan Johor, dan satu kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

ā€œKesemua kes melibatkan warganegara. KKM mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga mereka,ā€ ujar beliau.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan bahawa terdapat 13 kluster baharu telah dilaporkan hari ini iaitu melibatkan 11 kluster tempat kerja, satu kluster komuniti dan satu kluster bagi kumpulan berisiko tinggi. ā€” DayakDaily