KUCHING, 14 Feb: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa terdapat 2,464 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia melibatkan 2,461 kes tempatan dan tiga kes import.
“Kes positif terkini itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif adalah sebanyak 264,269 kes.
“Dengan itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah sebanyak 49,490 kes,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 1,103 kes. Ini diikuti oleh Johor dengan 492 kes dan Sarawak dengan 161 kes.
Tambah Dr Noor Hisham, terdapat sebanyak 4,525 kes pulih dan dibenarkan discaj menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 213,814 kes atau 80.9 daripada jumlah keseluruhan kes.
“Sehingga kini, terdapat 260 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk 111 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan terdapat pertambahan tujuh kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes berkenaan 965 kes.
“Kes-kes kematian pada hari ini melibatkan tiga kes di Sarawak, dua kes di Selangor serta masing-masing satu kes di Sabah dan Pulau Pinang.
“Kesemua kes kematian melibatkan warganegara. KKM mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga mereka,” ujar beliau.
Dr Noor Hisham turut memaklumkan bahawa terdapat 11 kluster baharu yang telah dikenal pasti pada hari ini, yang melibatkan sembilan kluster berkaitan tempat kerja serta masing-masing satu kluster melibatkan komuniti dan keagamaan. — DayakDaily