Covid-19: 2,461 kes baharu, lapan kematian dilaporkan hari ini

Image by Alexey Hulsov from Pixabay

PUTRAJAYA, 20 Feb: Sebanyak 2,461 kes baharu Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan kumulatif kes di seluruh negara kini meningkat kepada 280,272 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tiada kes import dikesan pada hari ini menjadikan kesemua kes jangkitan baharu yang dikesan pada hari ini merupakan kes jangkitan tempatan.

Katanya, daripada jumlah tersebut, 64.6 peratus melibat jangkitan di kalangan warga tempatan manakala 35.4 peratus lagi jangkitan dikesan di kalangan warga asing yang menetep di negara ini.


“Sehingga kini terdapat 34,468 kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 dan daripada jumlah itu sebanyak 207 kes dirawat di unit rawatan rapi dengan 91 kes memerlukan bantuan alat penafasan,” katanya menerusi satu kenyataan harian Covid-19 hari ini.

Beliau berkata, Selangor masih lagi melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 1,001 kes (40.7 peratus), diikuti oleh Kelantan sebanyak 257 kes (10.4 peratus) dan Johor sebanyak 233 kes (9.5 peratus).

Katanya, sebanyak 757 kes (75.6 peratus) daripada keseluruhan kes yang yang dilaporkan di Selangor berpunca daripada kluster serta saringan kontak rapat Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan di negeri berkenaan.

Dr Noor Hisham berkata, lapan kematian akibat jangkitan Covid-19 dilaporkan hari ini dengan empat kematian tersebut dilaporkan di Sarawak manakala Selangor, Sabah, Perak, dan Kelantan masing-masing melaporkan satu kes kematian berkaitan wabak berkenaan.

“Dengan lapan kes kematian akibat wabak Covid-19 yang dilaporkan seluruh negara hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian akibat wabak itu meningkat kepada 1,051 kes atau 0.37 peratus.

“Pada hari ini juga, seramai 4,782 kes dilaporkan sembuh sepenuhnya daripada jangkitan Covid-19 menjadikan jumlah keseluruah yang sembuh daripada wabak tersebut meningkat kepada 244,753 kes atau 87.3 peratus,” katanya. — DayakDaily