Covid-19: 2,433 kes baharu dan 9 kematian

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

KUCHING, 10 Jan: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa terdapat 2,433 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia melibatkan 2,426 kes tempatan dan tujuh kes import.

“Kes positif terkini itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif adalah sebanyak 135,992 kes.


“Dengan itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah sebanyak 27,332 kes,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 730 kes. Ini diikuti oleh Sabah sebanyak 403 kes dan Johor sebanyak 321 kes.

Tambah Dr Noor Hisham, terdapat sebanyak 1,277 kes pulih dan dibenarkan discaj menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 108,109 kes atau 79.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sehingga kini, terdapat 171 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi(ICU) termasuk 76 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan terdapat pertambahan sembilan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes berkenaan 551 kes.

“Dukacita dimaklumkan terdapat sembilan kes kematian dilaporkan hari ini melibatkan tujuh kes warganegara dan dua bukan warganegara.

“Lima kes kematian dilaporkan di Selangor dan tiga kes di Selangor,
manakala satu kes dilaporkan di Sabah. KKM mengucapkan takziah kepada
ahli keluarga mangsa,” ujar beliau.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan terdapat lima kluster baharu dilaporkan hari ini iaitu Kluster Tapak Bina Cyber di Selangor, Kluster Texmile (Selangor), Kluster Jalan Sibuga (Sabah), Kluster Alor Durian (Kelantan) dan Kluster Wakaf Lanas di Kelantan. — DayakDaily