Covid-19: 24 kematian dan 3,100 kes baharu

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

KUCHING, 8 Feb: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa terdapat 3,100 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia melibatkan 3,099 kes tempatan dan satu kes import.

ā€œKes positif terkini itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif adalah sebanyak 245,522 kes.


ā€œDengan itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah sebanyak 51,977 kes,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 1,196 kes. Ini diikuti oleh Johor sebanyak 490 kes dan Melaka sebanyak 344 kes.

Tambah Dr Noor Hisham, terdapat sebanyak 2,340 kes pulih dan dibenarkan discaj menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 192,679 kes atau 78.5 daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sehingga kini, terdapat 282 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi(ICU) termasuk 134 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan terdapat pertambahan 24 kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes berkenaan 896 kes.

“Kes-kes kematian pada hari ini melibatkan tujuh kes di Selangor, masing-masing tiga kes di Sabah, Sarawak, dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, dua kes di Perak dan Johor, serta satu kes di Kelantan, Melaka, Kedah, dan Pulau Pinang.

“Sebanyak 21 kes melibatkan warganegara dan tiga (3) kes bukan warganegara.

“KKM mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga mereka,”ujar beliau.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan bahawa terdapat 13 kluster baharu yang telah dikenal pasti pada hari ini.

Katanya, iaĀ  melibatkan 11 kluster berkaitan tempat kerja, serta masing-masing satu kluster komuniti dan kumpulan berisiko tinggi. ā€” DayakDaily