Covid-19: 1,884 kes baharu dan 2 kematian

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 23 Nov: Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan bahawa terdapat 1,884 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan hari ini.

Ini sekali gus menjadikannya angka harian paling tinggi pernah dicatat sejak wabak melanda Malaysia.


Menurut beliau, ia melibatkan 1,882 kes tempatan dan dua kes import.

“Kes positif terkini itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif adalah sebanyak 56,659 kes.

“Dengan itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah sebanyak 13, 842 kes,” katanya pada satu sidang media di Putrajaya hari ini.

Tiga negeri yang mencatatkan kes tertinggi pada hari ini adalah Selangor iaitu sebanyak 1,203 kes (63.9 peratus), diikuti oleh Sabah yang melaporkan sebanyak 289 kes (15.3 peratus) dan seterusnya Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 196 kes (10.4 peratus).

Tambah Dr Noor Hisham, terdapat pertambahan dua kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes berkenaan 337 kes.

“Dukacita dimaklumkan terdapat dua kes kematian dilaporkan melibatkan kes warganegara. Kedua-dua kes dilaporkan di Sabah.

“KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mereka,” katanya.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan sebanyak 883 kes pulih dan dibenarkan discaj menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 42,480 kes atau 75 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sehingga kini, terdapat 115 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk 48 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa terdapat empat kluster baharu dilaporkan hari ini iaitu Kluster Bintang di Kuala Lumpur, Kluster Indah Emas di Kuala Lumpur/Selangor, Kluster Teja Kasih di Perak dan Kluster Kobena di Johor. — DayakDaily