Covid-19: 165 kes sembuh dengan tiga kematian baharu

Dr Noor Hisham

KUCHING, Apr 11: Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan pertambahan kes pulih dan dibenarkan discaj di negara ini adalah sebanyak 165 kes setakat 12 tengah hari Sabtu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, angka itu menjadikan jumlah kumulatif kes yang sembuh sepenuhnya meningkat kepada 1,965 kes, iaitu bersamaan 44 peratus daripada jumlah keseluruhan

“Sehingga 11 April 2020 pukul 12:00 tengah hari, terdapat 184 kes baharu yang telah dilaporkan dan menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 4,530 kes.


“Sebanyak 72 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi(ICU). Daripada jumlah tersebut, 38 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya pada sidang media harian di Putrajaya hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham turut memaklumkan Malaysia merekodkan tiga lagi kematian berkaitan Covid-19, menjadikan jumlah kumulatif kematian meningkat kepada 73 kes atau 1.6 peratus daripada jumlah keseluruhan

“Kes kematian ke-71 (kes ke-3091) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 66 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan gout.

“Beliau mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif Covid-19 daripada kluster Seri Petaling (kes ke-452). Beliau telah dirawat di Hospital Tuanku Jaafar, Negeri Sembilan pada 1 April 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 11 April 2020 jam 12.05 tengahari.

“Kes kematian ke-72 (kes ke-537) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 71 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit jantung.

“Beliau telah dirawat di Hospital Sungai Buloh, Selangor pada 15 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 11 April 2020 jam 11.15 pagi.

“Kes kematian ke-73(kes ke-2399) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 63 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi.

“Beliau telah dirawat di Hosptital Raja Permaisuri Bainun Ipoh, Perak pada 25 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 11 April 2020 jam 12 tengahari,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) Fasa 1 dan II telah menunjukan tanda-tanda kejayaan dalam menurunkan kebolehjangkitan covid-19 dalam komuniti.

Katanya, menerusi trajektori unjuran KKM pada 14 April 2020 iaitu apabila tamat Fasa 2 PKP, unjuran kes-kes positif Covid-19 dengan kebolehjangkitan adalah dijangka lebih kurang 2033 kes.

“Setelah jumlah kes komulatif ditolak dengan kes kematian dan discaj, jumlah kes komulatif aktif dengan kebolehjangkitan Covid 19 ialah 2,482 kes.

“Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan,” ujar Dr Noor Hisham. —DayakDaily.