Covid-19: 1,600 kes baharu dan 1,033 pulih

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 7 Dis: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa terdapat 1,600 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia melibatkan 1,597 kes tempatan dan tiga kes import.


“Kes positif terkini itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif adalah sebanyak 74,294 kes.

“Dengan itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah sebanyak 11,604 kes,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Negeri Sembilan melaporkan jumlah kes harian tertinggi pada hari ini iaitu sebanyak 541 kes (33.8 peratus).

Ini diikuti oleh Selangor 426 kes (26.6 peratus) dan Sabah 248 kes (15.5 peratus).

Tambah Dr Noor Hisham, terdapat sebanyak 1,033 kes pulih dan dibenarkan discaj menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 62,306 kes atau 83.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sehingga kini, terdapat 129 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 57 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan terdapat pertambahan dua kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes berkenaan 384 kes.

“Dukacita dimaklumkan terdapat dua kes kematian melibatkan warganegara dilaporkan pada hari.

“Kedua-dua kes kematian dilaporkan di Sabah, KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mereka,” ujar beliau.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan terdapat dua kluster baharu dilaporkan hari ini iaitu Kluster Malawati di Kuala Selangor dan Kluster Tapak Bina Awan di Kuala Lumpur. — DayakDaily