Covid-19: 16 kes positif baharu, catatan terendah sejak Mac 18

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Mei 12: Kes positif Covid-19 baharu hari ini mencatat jumlah harian terendah dengan 16 kes sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada Mac 18 lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, sembilan kes adalah dari kalangan bukan warganegara Malaysia.

Menurut beliau, dari 16 kes baharu itu, terdapat tiga kes import dan 13 kes penularan tempatan.

“Oleh itu, jumlah kumulatif kes positif Covid-19 di negara ini adalah sebanyak 6,742 kes, manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 ialah 1,410 kes,” katanya pada sidang media harian berkaitan Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Pada sidang yang sama, Dr Noor Hisham berkata terdapat 110 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj hari ini.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih dan discaj dari wad adalah sebanyak 5,223 kes atau 77.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Seramai 16 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, tiga kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Hari ini tiada pertambahan kes kematian dan jumlahnya kekal sebanyak 109 kes, iaitu 1.62 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya. — DayakDaily