Covid-19:  143 pulih dengan 43 kes baharu, 1 kematian

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 13 Jun: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa terdapat 143 kes yang telah pulih Covid-19 dan dibenarkan discaj pada hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, angka itu menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya daripada jangkitan Covid-19 dan discaj dari wad adalah sebanyak 7,311 kes.

Katanya, ia bersamaan 86.57 peratus daripada jumlah keseluruhan kes positif Covid-19.

“Sehingga 13 Jun, 2020 jam 12 tengah hari, terdapat 43 kes baharu yang telah dilaporkan dan ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 8,445 kes.

“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,014 kes dan mereka telah diasingkan dan diberi rawatan,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata daripada 43 kes baharu tersebut, lima kes adalah kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara dan melibatkan empat warganegara Malaysia dan seorang bukan warganegara.

Daripada 38 kes penularan dalam negara, 23 kes adalah bukan warganegara manakala 15 kes adalah dikalangan warganegara Malaysia.

”Sehingga kini, sebanyak empat kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada kes yang memerlukan bantuan pernafasan,” ujar beliau.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan bahawa terdapat satu kes kematian dilaporkan ke Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) hari ini.

Justeru katanya, jumlah kes kematian di Malaysia adalah sebanyak  120 kes iaitu bersamaan dengan 1.20 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Kes kematian ke-120 iaitu kes 8,403 merupakan perempuan warganegara Malaysia berumur 96 tahun.

“Beliau telah meninggal dunia pada 12 Jun, 2020 di rumah beliau dan jenazahnya dibawa ke Hospital Queen Elizabeth di Kota Kinabalu, Sabah. Saringan ujian Covid-19 mendapati positif.

“Punca jangkitan bagi kes ini masih dalam siasatan,” ujar Dr Noor Hisham. -DayakDaily.