Covid-19: 14 kes positif baharu dengan 17 individu pulih

Covid-19 file pic

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 2 Ogos: Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan bahawa terdapat 14 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan hari ini.

Katanya, ia melibatkan 13 kes penularan dalam negara dan satu kes import.

“Kes positif terkini itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif sebanyak 8,999 kes.

“Dengan itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah sebanyak 210 kes,” katanya menerusi satu kenyataan.

Jelas Dr Noor Hisham, daripada 13 kes penularan dalam negara, 11 kes adalah melibatkan warganegara dari Kluster PUI Sivagangga, Kedah dan dua (2) kes melibatkan warganegara di Sabah.

Manakala satu kes import melibatkan bukan warganegara yang pulang dari Filipina.

Tambah beliau, tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes berkenaan kekal 125 kes.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan sebanyak 17 kes pulih dan dibenarkan discaj menjadikan jumlah kumulatif kes pulih 8,664 kes atau 96.28 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sehingga kini, terdapat dua (2) kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi(ICU) dan  satu (1) kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.-DayakDaily