Covid-19: 14 kematian dan 3,631 kes baru

Covid-19 file pic

KUCHING, 19 Jan: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa terdapat 3,631 kes Covid-19 baru dilaporkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia melibatkan 3,624 kes tempatan dan tujuh kes import.

“Kes positif terkini itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif adalah sebanyak 165,371 kes.


“Dengan itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah sebanyak 39,464 kes,” katanya pada satu sidang media di Putrajaya hari ini.

Selangor melaporkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 1,199 kes. Ini diikuti oleh Sabah dengan 526 kes dan Kuala Lumpur dengan 521 kes.

Tambah Dr Noor Hisham, terdapat sebanyak 2,944 kes pulih dan dibenarkan discaj menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 125,288 kes atau 75.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sehingga kini, terdapat 238 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk 96 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan terdapat pertambahan 14 kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes berkenaan 619 kes.

“Dukacita dimaklumkan terdapat 14 kes kematian dilaporkan hari ini melibatkan 12 kes warganegara dan dua bukan warganegara.

“Tujuh kes kematian dilaporkan di Selangor dan dua kes di Johor, manakala Kedah, Perak, Kelantan, Sarawak dan Labuan masing-masing merekodkan satu kes. KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mangsa,” ujar beliau. —DayakDaily