Covid-19: 1,345 pulih dengan 972 kes baharu dan 8 kematian

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 9 Nov: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa terdapat 1,345 kes pulih sepenuhnya daripada Covid-19 hari ini.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, ia menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 adalah 29,579 kes atau 71.8 peratus daripada jumlah keseluruhan.


Beliau juga memaklumkan bahawa sebanyak 972 kes baharu dicatatkan menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 41,181 kes.

“Ia melibatkan 967 kes tempatan dan lima kes import. Dengan itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah sebanyak 11,308 kes,” katanya pada satu sidang media di Putrajaya hari ini.

Bagi penularan tempatan, Sabah terus mencatatkan kes baharu tertinggi dengan 370 kes, Negeri Sembilan mencatat 260 kes, Selangor(137), Wilayah Persekutuan Labuan (63), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (20), Perak (51) dan Pulau Pinang (34).

Kedah dan Johor masing-masing mencatat lapan kes, Melaka dan Wilayah Persekutuan Putrajaya masing-masing merekodkan lima kes, Sarawak (empat) dan Kelantan dengan dua kes.

Tambah Dr Noor Hisham, terdapat pertambahan lapan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes berkenaan 294 kes.

“Dukacita dimaklumkan bahawa terdapat lapan kes kematian dilaporkan hari ini melibatkan dua bukan warganegara dan enam warganegara.

“Tujuh kes dilaporkan di Sabah dan satu di Labuan. Takziah diucapkan kepada ahli keluarga mereka,” ujar Dr Noor Hisham.

Menurut beliau lagi, sehingga kini terdapat 86 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 31 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa terdapat enam kluster baharu dilaporkan hari ini iaitu Kluster Nahaba di Kota Belud, Kluster Numbak di Kota Kinabalu, Kluster Perigi di Selangor, Kluster Seri Terapi di Kuala Lumpur, Kluster Padang di Johor dan Kluster Harmoni di Putrajaya. — DayakDaily