Covid-19: 1,300 kes baharu dan 5 kematian

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

KUCHING, 6 April: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa terdapat 1,300 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia melibatkan 1,276 kes tempatan dan 24 kes import.

“Kes positif terkini itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif adalah sebanyak 353,329 kes.

“Dengan itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah sebanyak 14,161 kes,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hari ini, Sarawak melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 385 kes. Ini diikuti oleh Selangor dengan 242 kes dan Kelantan dengan 126 kes.

Tambah Dr Noor Hisham, terdapat sebanyak 1,412 kes pulih dan dibenarkan discaj menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 337,868 kes atau 95.62 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sehingga kini, terdapat 189 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk 88 kes memerlukan bantuan pernafasan,”katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan terdapat pertambahan lima kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes berkenaan 1,300.

“Terdapat lima kes kematian pada hari ini melibatkan tiga kes di Sabah dan masing-masing satu kes di Selangor dan Kelantan.

“Kesemua kes kematian melibatkan warganegara. KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mereka,”ujar beliau.

KKM juga memaklumkan terdapat 10 kluster baharu yang telah dikenal pasti pada hari ini yang melibatkan lima kluster tempat kerja, tiga kluster komuniti, serta masing-masing satu kluster pusat tahanan dan kluster keagamaan. — DayakDaily