Covid-19: 1,212 kes baharu dan 2,112 pulih

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 30 Nov: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa terdapat 1,212 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia melibatkan 1,203 kes tempatan dan 9 kes import.

“Kes positif terkini itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif adalah sebanyak 65,697 kes.

“Dengan itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah  sebanyak 10,578 kes,” katanya pada satu sidang media di Putrajaya hari ini.

Selangor pada hari ini melaporkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 402 kes bersamaan dengan 33.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Ini diikuti oleh Sabah sebanyak 326 kes (26.9 peratus) dan Negeri Sembilan sebanyak 141 kes (11.6 peratus).

Tambah Dr Noor Hisham, terdapat sebanyak 2,112 kes pulih dan dibenarkan discaj menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 54,759 kes atau 83.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sehingga kini, terdapat 113 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 42 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan terdapat pertambahan tiga kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes berkenaan 360 kes.

“Dukacita dimaklumkan terdapat tiga kes kematian melibatkan warganegara dilaporkan pada hari.

“Satu kes kematian dilaporkan di Sabah, manakala satu kes masing-masing di Kedah dan Labuan. KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mereka,” ujar beliau.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan terdapat tiga kluster baharu dilaporkan hari ini iaitu Kluster Jalan Lapan yang membabitkan Selangor dan Kuala Lumpur, Kluster Batu Sembilan di Selangor dan Kluster Nibong di Johor.

Jumlah kes baharu dalam ketiga-tiga kluster ini adalah 54 kes. — DayakDaily