Covid-19: 1,208 kes baharu dengan 1,013 pulih dan 3 kematian

Filepix

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 15 Nov: Kementerian Kesihatan Malaysia memaklumkan bahawa terdapat 1,208 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia melibatkan 1,202 kes tempatan dan enam kes import.


“Kes positif terkini itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif adalah sebanyak 47,417 kes.

“Dengan itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah sebanyak 12,323 kes,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Tambah Dr Noor Hisham, terdapat pertambahan tiga kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes berkenaan 309 kes.

“Dukacita dimaklumkan terdapat tiga kes kematian dilaporkan pada hari ini melibatkan semua warganegera.

“Satu kes dilaporkan di Hospital Tawau melibatkan perempuan berumur lapan tahun. Manakala dua kes di Hospital Duchess of Kent melibatkan lelaki berumur 77 tahun dan perempuan berumur 63 tahun.

“KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mereka,” ujar beliau.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan sebanyak 1,013 kes pulih dan dibenarkan discaj menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 34,785 kes atau 73.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sehingga kini, terdapat 104 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 42 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan terdapat tiga kluster baharu dilaporkan hari ini iaitu Kluster Plaza di Kota Kinabalu, Kluster Jalan Kalabakan di Tawau dan Kluster Jeri di Johor. — DayakDaily