Covid-19: 12 kes positif baharu manakala 17 individu pulih

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 17 Ogos: Sebanyak 12 kes baharu positif Covid-19 dan 17 individu pulih dilaporkan di seluruh negara hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 12 kes baharu itu melibatkan 10 kes penularan dalam negara dan dua kes import.

“Kes positif terkini itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif adalah sebanyak 9,212 kes.

“Dengan itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah sebanyak 211 kes,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Jelas Dr Noor Hisham, dua kes import hari ini melibatkan bukan warga negara iaitu mereka yang pulang dari Syria dan Filipina, manakala 10 kes penularan dalam negara adalah melibatkan warganegara.

Tambah beliau, tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes berkenaan kekal 125 kes.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan sebanyak 17 kes pulih dan dibenarkan discaj menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 8,876 kes atau 96.35 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sehingga kini, terdapat lapan kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan dua kes memerlukan bantuan alat pernafasan,” katanya. — DayakDaily