Covid-19: 116 kes pulih dengan 94 kes baharu dan tiada kematian

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Mei 2: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan pertambahan 116 kes pulih Covid-19 dan dibenarkan discaj di seluruh negara pada hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata angka itu menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya dari jangkitan Covid-19 dan discaj dari wad adalah sebanyak 4,326 kes.


Katanya, ia bersamaan 70 peratus daripada jumlah keseluruhan kes positif Covid-19.

“Sehingga 2 Mei 2020 pukul 12:00 tengah hari, terdapat 105 kes baharu yang telah dilaporkan, ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 6,176 kes.

“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,747 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan di hospital.

“Seramai 31 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, 12 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya pada sidang media harian di Putrajaya hari ini.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan bahawa tiada kematian dilaporkan ke Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) hari ini.

Justeru katanya, jumlah kes kematian di Malaysia kekal 103 kes iaitu bersamaan 1.67 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Mengulas lanjut beliau berkata daripada jumlah 105 kes baharu hari ini, 11 adalah merupakan kes import dan kes penularan tempatan adalah 94 kes.

“Sebanyak 60 kes telah dikesan dari lokaliti dibawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan,” ujar beliau.—DayakDaily