Covid-19: 11 kes positif baharu dengan 19 individu pulih

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

KUCHING, 10 Ogos: Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan bahawa terdapat 11 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan hari ini.

Katanya, ia melibatkan enam kes penularan dalam negara dan lima kes import.

“Kes positif terkini itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif adalah sebanyak 9,094 kes.


“Dengan itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah sebanyak 166 kes,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Jelas Dr Noor Hisham, daripada enam kes penularan dalam negara, lima kes adalah melibatkan warganegara dan satu kes bukan warganegara.

Tambah beliau, tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes berkenaan kekal 125 kes.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan sebanyak 19 kes pulih dan dibenarkan discaj menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 8,803 kes atau 96.80 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sehingga kini, terdapat satu kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU),” katanya. — DayakDaily