Covid-19: 1,012 kes baharu dengan 1,750 pulih dan 4 kematian

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 8 Dis: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa terdapat 1,012 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia melibatkan 1,005 kes tempatan dan tujuh kes import.

“Kes positif terkini itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif adalah sebanyak 75,306 kes.

“Dengan itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah sebanyak 10,862 kes,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.


Selangor melaporkan jumlah kes harian tertinggi pada hari ini iaitu sebanyak 417 kes iaitu bersamaan 41.2 peratus.

Ini diikuti oleh Sabah 271 kes (26.8 peratus) dan Johor sebanyak 108 kes (10.7 peratus).

Tambah Dr Noor Hisham, terdapat sebanyak 1,750 kes pulih dan dibenarkan discaj menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 64.056 kes atau 85.1 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sehingga kini, terdapat 126 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 62 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan terdapat pertambahan empat kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes berkenaan 388 kes.

“Dukacita dimaklumkan terdapat empat kes kematian melibatkan tiga warganegara dan seorang bukan warganegara dilaporkan pada hari ini.

“Kesemua kes kematian dilaporkan di Sabah. KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mereka,” ujar beliau.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan terdapat dua kluster baharu dilaporkan hari ini iaitu Kluster Seruling di Selangor melibatkan daerah Hulu Selangor, Petaling dan Klang dan Kluster Tapak Bina Darul di Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan. — DayakDaily