Coronavirus: 1 kes positif, 3 kes menunggu keputusan makmal di negara

Dr Dzulkefly fielding questions at a press conference held at the Sarawak Heart Centre in Kota Samarahan. - file photo

KUCHING, 28 Jan: Jumlah kumulatif kes Patient-Under-Investigation (PUI) jangkitan Wuhan coronavirus (2019-nCoV) di dalam negara setakat 28 Januari adalah 65 kes.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, menerusi kenyataan media hari ini, berkata 34 kes adalah melibatkan warganegara Malaysia.

Sementara itu, 30 yang lain melibatkan warganegara China dan 1 kes warganegara Jordan.

ā€œDaripada jumlah 65 kes PUI ini, terdapat satu kes yang positif 2019-nCoV sebagaimana yang telah dimaklumkan sebelum ini.

ā€œSementara itu, sebanyak 61 kes PUI adalah negatif yang melibatkan 34 warganegara Malaysia, 26 warganegara China dan satu warganegara Jordan.

ā€œManakala tiga lagi kes PUI (warganegara China), masih menunggu keputusan makmal,” katanya.

Dzulkefly turut memaklumkan bahawa tiga orang kontak rapat dengan kes positif 2019-nCoV pertama di Singapura yang disahkan positif jangkitan 2019-nCoV masih dirawat di wad isolasi dan dalam keadaan stabil.

Dalam pada itu tambah beliau lagi, kesemua 17 kontak rapat kepada kes positif 2019-nCoV keempat telah disahkan negatif dan telah dilepaskan dari menjalani Perintah Pemantauan dan Pengasingan.

Mengulas isu yang sama, Dr Dzulkefly berkata Kementerian Kesihatan, sejak 4 Januari, telah meningkatkan saringan ke atas semua pengembara (penumpang dan anak kapal) dari negara China di semua 64 Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) negara sebagai langkah menghadapi 2019-nCoV.

Katanya, saringan terhadap pengembara yang tiba di PMA menggunapakai tiga pendekatan iaitu saringan demam dengan menggunakan thermal scanner, kedua melalui kerjasama dengan imegresen untuk merujuk mana-mana pengembara dari China bagi pemeriksaan lanjut oleh anggota kesihatan di PMA.

Dan pendekatan ketiga ialah KKM juga memasang bunting untuk memaklumkan dan menggalakkan mana-mana pengembara yang tiba dari China untuk tampil ke pusat pemeriksaan kesihatan di PMA. ā€”DayakDaily.