Contohi SLTA, persatuan anjur kejohanan peringkat antarabangsa setiap tahun — Abdul Karim

Abdul Karim berucap di majlis penyerahan geran di Kuching.

KUCHING, 22 Feb: Contohi Persatuan Lawn Tennis Sarawak (SLTA), mereka mampu menganjurkan kejohanan bertaraf antarabangsa setiap tahun, kata Menteri Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Menurut Abdul Karim, SLTA dibawah kendalian presidennya Dato Patrick Liew berjaya membawa pembangunan kepada sukan tennis di Sarawak.

“SLTA setiap tahun, dan tidak lama lagi pada bulan ini akan menganjurkan pertandingan peringkat antarabangsa di sini.


“Kita nampak walaupun kerajaan tidak memberikan geran secukupnya, persatuan tenis ini masih dapat menganjurkan pertandingan peringkat antarabangsa,” katanya di majlis penyampaian geran kepada persatuan sukan di sini, malam ini.

Pada majlis tersebut, geran berjumlah RM1.6 juta diserahkan kepada 44 persatuan dan pertubuhan.

Tambah Abdul Karim, SLTA juga menguruskan kebajikan pemain yang mewakili Sarawak dengan menyediakan biasiswa kepada mereka melanjutkan pelajaran di luar negara.

“Pemain yang pernah mewakili Sarawak dalam tenis diterima masuk ke universiti di Amerika.

“Dalam tempoh 10 ke 20 tahun persatuan ini telah mencapai kejayaan,” kata Abdul Karim. — DayakDaily

Setiausaha Kehormat SLTA Bernard Chin (kanan) bersama geran RM100,000 daripada kerajaan Sarawak.