CM: Sarawak berjaya menarik perhatian Singapura

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg
Advertisement

KUCHING, Mac 7: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg merasakan Sarawak kini sudah mendapat perhatian Singapura sebagai satu bintang ekonomi baru yang sedang meningkat di rantau ini.

Ini setelah ramai menteri negara itu meminta bertemu denganya ketika beliau melawat negara terbabit Isnin dan Selasa lepas dan sepatutnya lawatan itu hanya dijadualkan bertemu dengan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong dan timbalannya.

“Sebenarnya program saya hanya bertemu dengan Perdana Menteri Singapura dan timbalannya, tetapi sebaliknya dua menteri Singapura iaitu Menteri Hal Ehwal Luar Negara (Dr Vivian Balakrishnan) dan Menteri Kewangan (Heng Swee Kiat) telah meluahkan hasrat mereka bagi dapat bertemu dengan saya,” katanya di majlis pelancaran Petroleum Sarawak Berhad (Petros), di sini, semalam.

Advertisement

Abang Johari berkata berikutan memenuhi permintaan kedua-dua menteri Singapura tersebut menyebabkan beliau lewat kembali ke negeri ini dan juga sedikit lewat bagi menghadiri majlis pelancaran Petros itu.

“Saya tidak tahu kenapa mereka mahu berjumpa dan berbincang isu dengan saya, mungkin mereka melihat bintang baru (ekonomi) sedang meningkat diseberang Lautan China Selatan iaitu Sarawak,” katanya.

Beliau berkata secara keseluruhannya perbincangan beliau dengan Perdana Menteri Singapura dan timbalannya serta kedua-dua menteri Singapura itu berjalan dengan baik sehingga Menteri Kewangan Singapura berkongsi dengannya hasrat negara terbabit memperkenalkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada 2021.

Bagaimanapun Abang Johari tidak memberikan butiran perbincangannya dengan kalangan menteri Singapura terbabit semasa lawatan dua hari itu yang turut disertai Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Tan Sri James Jemut Masing, Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia Ke Singapura, Dato Zulkifli Adenan.

Dalam lawatan terbabit Singapura dan Sarawak telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) untuk membuka jalan bagi kerjasama dalam platform pembayaran digital mudah alih. — DayakDaily

Advertisement