CIQ Ba’ Kelalan yang terbengkalai, dibina semula

Awang Tengah (dua dari kiri) mendengar taklimat berhubung keadaan CIQ Ba’Kelalan.
Advertisement

KUCHING, 2 Nov: Kerja-kerja pembinaan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Ba’ Kelalan yang terbengkalai akan dimulakan semula.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan berkata, kerajaan akan mengeluarkan semula surat tender projek tersebut.

“Kerja-kerja pembinaan bangunan CIQ Ba’Kelalan sebelum ini telah dihentikan dan kontraktor berkenaan telah ditamatkan kontraknya.

Advertisement

“Untuk memastikan bangunan CIQ Ba’Kelalan ini siap, kerajaan akan mengeluarkan semula surat tender sebaik sahaja kerja-kerja menilai bangunan ini siap,” katanya menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).

Awang Tengah yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli II pada semalam telah mengadakan lawatan ke tapak projek tersebut di Punang, Ba’kelalan.

Dalam lawatan itu, beliau telah melihat sendiri struktur bangunan dan mendengar taklimat daripada Penguasa Jabatan Imigresen Malaysia Daerah Lawas berkenaan keadaan CIQ Punang Ba’kelalan yang terbengkalai pembinaannya sebelum ini.

Selesai tinjauan tersebut, Awang Tengah yang juga ADUN Bukit Sari dan rombongan menuju ke sempadan di antara Punang Kelalan dan Long Midang, Kalimantan.

Lawatan adalah untuk melihat sendiri pembangunan jalan raya telah diturap dengan baik dan meninjau ke Bario bagi melihat keadaan dan perkembangan jalan raya tersebut.

Hadir sama Timbalan Menteri Pengangkutan yang juga MP Lawas Dato Henry Sum Agong, Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah yang juga ADUN Bukit Kota Datuk Dr Abdul Rahman Ismail dan ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang. — DayakDaily

 

Advertisement