Cincin dan gunting tersekat pada kemaluan

Anggota bomba dibantu pihak hospital memotong cincin dan gunting yang tersekat pada kemaluan seorang lelaki.

KUCHING, Feb 27: Seorang lelaki berdepan detik mencemaskan apabila cincin dan gunting tersangkut pada kemaluannya dalam satu kejadian di sebuah rumah di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi itu, mangsa yang berusia 45 tahun terpaksa meminta bantuan bomba untuk memotong objek yang tersekat pada kemaluannya.

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, lelaki itu datang sendiri ke Balai Bomba dan Penyelamat Batu Lintang di sini hari ini.


Katanya, selepas membuat penelitian, pasukan bomba kemudian merujuk lelaki tersebut ke Hospital Umum Sarawak di sini bagi tindakan lanjut.

“Pihak hospital kemudian memberikan ubat pelali kepada mangsa sebelum pasukan bomba memotong cincin dan gunting itu.

“Pasukan bomba kemudian menggunakan peralatan khas air bagi memotong kedua-dua objek tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tiong menambah, operasi memotong kedua-dua cincin dan gunting itu mengambil masa kira-kira 10 minit.

Katanya, selepas itu, mangsa kemudian diberi rawatan susulan oleh pihak hospital.

“Operasi tamat sepenuhnya selepas operasi memotong cincin dan gunting itu selesai,” katanya lagi. — DayakDaily