KOTA SAMARAHAN, Julai 28: Seorang lelaki menemui ajal selepas Nissan Xtrail yang dipandunya hilang kawalan lalu merempuh tiang lampu di KM 10, Bulatan Medan Universiti di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.50 pagi itu, mangsa, Radiman Junaidi, 46, dari Kampung Baru di sini disahkan meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Jantung Samarahan.
Difahamkan, mangsa merupakan seorang guru dan kini bertugas di Pejabat Pendidikan Daerah Padawan.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata, sebelum kejadian mangsa dikatakan sedang dalam perjalanan dari arah Kota Samarahan ke pusat bandar raya Kuching.
Bagaimanapun katanya, apabila tiba di tempat kejadian, kenderaan yang dipandunya tiba-tiba hilang kawalan lalu merempuh tiang lampu di bahu jalan tersebut.
“Impak kemalangan itu mengakibatkan mangsa tidak sedarkan diri selepas mengalami kecederaan pada kepalanya.
“Orang awam yang kebetulan melalui jalan berkenaan kemudian membantu mangsa sebelum menghubungi pihak hospital untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi.
Alexson menambah, siasatan lanjut mendapati tiada kenderaan lain terlibat dalam kemalangan tersebut.
Katanya, mayat mangsa akan dibedah siasat sebelum diserahkan kepada warisnya untuk urusan pengebumian.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. — DayakDaily