By Chris Bishop
KUCHING, 30 Okt: Persahabatan Cikgu Emmet Faizal dengan bekas anak muridnya Lisyana di SK Melugu di Sri Aman terus terjalin erat.
Cikgu Emmet yang terkenal di sosial media Facebook menerusi hantaran berhubung keperitan murid-murid luar bandar baru-baru ini sekali lagi bertemu Lisyana.
Lisyana yang berasal dari Nyelam, Sri Aman pada tahun 2014 berusia 7 tahun dan terkenal dengan ungkapan “Cikgu… bila ari lima?” (Cikgu, bila hari Jumaat?)
“Cikgu masih ingat dik semasa cikgu mengajar kelasnya pada awal Januari… airmata Lisyana tidak kering dari bertakung dikelopak matanya.
“Namun dia tidak pernah meraung berguling minta balik. Bila Cikgu lalu disebelah mejanya dia akan menarik tangan cikgu dan bertanya…’Cikgu… bila ari lima?’
“Cikgu akan pegang kepalanya dan berkata… lagi tiga hari.
“Maka mulutnya akan mencebik, sesekali dia mengesat airmata dengan lengan baju,” kata Cikgu Emmet pada hantaran di Facebook beliau pada 2014.
Jelas beliau, seawal usia 7 tahun Lisyana sudah tinggal di asrama sekolah semata mata untuk satu tujuan iaitu menimba ilmu.
Lisyana hanya dihantar oleh ibunya ditepi jalan rumah panjang di sebuah rumah panjang bernama Nyelam.
Oleh yang demikian, Lisyana ke sekolah hanya menggunakan van pada petang Ahad dan kembali ke rumah panjang pada petang Jumaat.
“Anak sekecil ini sudah diajar berdikari, sudah jauh berpisah dengan ibubapa demi mencari ilmu.
“Anak sekecil Lisyana ini sudah mula belajar mengemas tempat tidur sendiri di asrama, sudah mula mencuci baju didalam baldi dibilik mandi.
“Anak sekecil ini sudah mula menyidai dan melipat kain bajunya sendiri. Anak sekecil ini diajar erti pengorbanan,” kata Cikgu Emmet.
Hari ini Facebook ‘Cikgu Emmet Menulis’ membuat hantaran bertemu dengan Lisyana semula.
Cikgu Emmet memberi komen “Seronok dapat berjumpa dengan bekas anak-anak didik di SK Melugu dulu… Mereka masih ingat saya, dah Form 5 dan 4 mereka.
“Yang baju merah itu adalah Lisyana. Semoga menjadi anak-anak yang baik dan berjaya dalam hidup,” kata Ciku Emmet. — DayakDaily