Chukpai gesa kerajaan bina Jalan Keselamatan Sempadan – Empangan Murum ke Pos CIQS Long Nawang

Kennedy Chukpai Ugon

KUCHING, 17 Mei: Adun Murum Kennedy Chukpai Ugon mencadangkan agar Jalan Keselamatan Sempadan dibina bagi menghubungkan Sarawak ke Nusantara, Ibu Kota Baharu Indonesia di Kalimantan.

Menurut beliau, cadangan jajaran jalan ini bermula dari Empangan Murum ke Long Lidem ke Long Unai ke Tapak Megah dan ke Pos CIQS Long Nawang, Indonesia dengan jarak 123km.

“Jajaran ini sudah ada dan merupakan bekas jalan balak di kawasan Forest Management Unit (FMU) Linau dan FMU Bahau.

“Jalan ini akan melewati Dataran Tinggi Apau Nawai di Daerah Belaga dan tidak jauh dari Dataran Tinggi Usun Apau di Baram yang mempunyai potensi sektor perlancongan,” katanya pada sidang media di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Tambah Chukpai, Tapak Megah, Long Unai di Ulu Batang Balui di Belaga terletak paling dekat dengan Nusantara dengan jarak lebih kurang 23km ke Pos CIQS Long Nawang.

Katanya, negara jiran Indonesia sedang giat membangunkan Pos CIQS mereka di Long Nawang dan sudah 75 peratus siap.

“Oleh itu saya menyeru agar Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Sarawak perlu membina jaringan jalanraya yang sempurna.

“Membina Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) yang lengkap dengan kadar segera di kawasan ini.

“Ia bagi mengimbangi pembangunan di kawasan sempadan khasnya melibatkan kepentingan kawalan keselamatan, sekuriti bagi aset tenaga kita iaitu Empangan Bakun, Empangan Murum dan yang akan datang ialah Empangan Baleh,” kata Chukpai. — DayakDaily