Chukpai cadang Belaga sebagai pusat pentadbiran baharu bertaraf Bahagian

Kennedy Chukpai Ugon

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 23 Mei: Adun Murum Kennedy Chukpai Ugon mengesyorkan agar Daerah Belaga diiktiraf sebagai pusat pentadbiran baharu bertaraf Bahagian iaitu Bahagian ke-13.

Beliau turut mengesyorkan agar Daerah Kecil Sungai Asap diangkat sebagai pentadbiran bertaraf Daerah Penuh dan Pekan Tubau sebagai pentadbiran Daerah Kecil.


“Dengan wujudnya sebuah bahagian yang baharu ini akan memantapkan lagi pentadbiran dan susun atur negeri.

“Agenda dan perancangan pembangunan di kawasan pedalaman boleh dilaksanakan dengan lebih cepat, terperinci dan mampan lagi,” katanya dalam perbahasan penghargaan atas ucapan pembukaan Yang di-Pertua Negeri pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak Ke-19 hari ini.

Tambah Chukpai, Daerah Belaga merupakan daerah terbesar di Sarawak dengan keluasan kira-kira 20,000km persegi.

Ia merangkumi DUN Belaga dan DUN Murum yang hanya mempunyai satu daerah kecil sahaja iaitu Daerah Kecil Sungai Asap.

Katanya, Daerah Belaga juga merupakan Daerah Tenaga Sarawak dengan adanya dua Empangan Hidro Elektrik mega iaitu Murum dan Bakun yang menjadi pemangkin kepada pembangunan seluruh negeri.

“Selain itu, Daerah Belaga juga terletak bersempadan dengan negara jiran kita Kalimantan, Indonesia di mana Ibu Negara dan Pusat Pentadbiran Republik Indonesia yang baharu akan dibina.

“Ini tentunya membuka peluang sosio-ekonomi yang besar dengan Nusantara,” ujar Chukpai.

Dalam ucapan yang sama, beliau memohon kerajaan menyegerakan projek naik taraf beberapa jalan di DUN Murum.

Ia melibatkan projek naik taraf bekas jalan balak ke Ulu Jelalong, Tubau sepanjang 88km, naik taraf jalan kampung ke 25 buah rumah panjang di Jelalong dan Tubau (45km), naik taraf bekas jalan balak ke Lusong Laku (55km), projek naik taraf bekas jalan balak ke Long Lawen (15km) dan naik taraf bekas jalan balak ke Long Unan/Long Senep (35km). — DayakDaily