Chong digesa berhenti memburukkan Sarawak

Fazzrudin Abdul Rahman

Oleh Dean Adam

KUCHING, Nov 26: Kenyataan pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak Chong Chieng Jen yang menyeru Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg supaya bersikap berani dan tegas dalam membuat tuntutannya daripada kerajaan persekutuan jelas membuktikan bahawa beliau tidak mahu melihat kerajaan Sarawak dapat menjana pendapatan tambahan untuk negeri, menurut seorang pemimpin tempatan.

Timbalan Ketua Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak, Fazzrudin Abdul Rahman berkata, dalam sidang DUN yang lepas Menteri Kewangan II Sarawak Datuk Seri Wong Soon Koh telah menjelaskan tentang pelaburan tersebut dan ianya dibuat setelah melihat kepada keuntungan yang bakal diperolehi oleh kerajaan.

Jelasnya, kenyataan Chong bahawa rakyat Sarawak ‘was kept in the dark’ dan tidak akan tahu jika tiada perubahan kuasa di peringkat persekutuan juga menunjukkan niat beliau untuk memburukkan kerajaan negeri ini.

“Kalau Chong ambil tahu sedikit perkembangan Sarawak, beliau akan sedar bahawa pengumuman dan berita berkenaan pelaburan ini dilaporkan secara meluas pada November 28, 2017 dalam dan ini adalah enam bulan sebelum pilihan raya umum yang lalu.

“Berpandukan fakta di atas saya yakin kerajaan negeri tidak pun cuba untuk menyembunyi apa-apa pun,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong itu menambah, portal Star Online tersebut juga melaporkan bahawa Zecon Medicare Sdn Bhd telah memperoleh konsesi 30 tahun bagi hospital pakar kanak-kanak tersebut dan kerajaan Sarawak telah melabur dalam perkara tersebut.

Sehubungan itu katanya, beliau menyarankan agar Chong berhenti memburuk-burukkan Sarawak dan memberi fokus kepada kementerian beliau dan memastikan harga barang-barang dikawal untuk dimanfaati rakyat.

“Amalan pelaburan seperti ini juga diamalkan oleh kerajaan negeri Selangor pimpinan PKR (Parti Keadilan Rakyat) dan negeri pimpinan DAP (Democratic Action Party).

“Contohnya syarikat milik Worldwide Holdings milik kerajaan negeri Selangor diketahui umum melabur sebanyak RM340 juta untuk membina 20 buah rumah mewah di Subang dan ratusan juta utk projek hartanah di Perth dan Sydney,” ujarnya.

Fazzrudin juga mencabar Chong untuk menyoal tindakan Lim Guan Eng selaku Menteri kewangan yang meneruskan dasar-dasar pelaburan kerajaan dalam syarikat-syarikat swasta dan juga untuk membantah tindakan pelaburan oleh rakan-rakan PH di Selangor dan Penang atas prinsip yang sama sebelum cuba menyebar fitnah ke atas kerajaan negeri Sarawak. — DayakDaily