KUCHING, 28 Ogos: Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (Centexs) Kampus Mukah akan dibuka kepada pelajar antarabangsa, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
Pada majlis perasmian pusat tersebut hari ini, beliau berkata pendekatan itu bakal melahirkan golongan graduan yang berfikiran global.
“Kita mesti ada minda yang luas, kita buka juga Centexs Kampus Mukah ini kepada pelajar dari luar negara kerana pensijilan pusat ini diiktiraf oleh dunia.
“Apabila ada budaya yang berbeza, cara pembelajaran juga akan berbeza dan cara pemikiran juga berbeza iaitu lebih kepada global.
“Harapan kita, apabila Sarawak mencapai status negeri maju pada 2030, Sarawak akan menjadi pusat rujukan untuk orang lain,” katanya.
Beliau turut berkata bahawa situasi itu nanti akan mewujudkan satu persefahaman dan rangkaian di antara pelajar tempatan dan pelajar luar negara.
Mengambil contoh apabila terdapat pelajar dari Indonesia di pusat tersebut, Abang Johari berkata pelajar tersebut akan membantu mempromosi produk Sarawak ke Indonesia setelah tamat latihannya.
“Pelajar tempatan dan pelajar luar negara akan bekerjasama semasa di pusat ini, dan apabila tamat latihan mereka sudah ada satu rangkaian yang boleh membantu memasarkan produk di negara masing-masing,” ujar beliau.
Centexs Kampus Mukah memiliki keluasan 13 ekar dan mampu menempatkan seramai 890 orang pelatih dalam satu masa dengan 14 buah bengkel dan 22 kelas disediakan.
Kampus turut menyediakan kemudahan asrama untuk 200 orang pelajar perempuan dan 400 orang pelajar lelaki termasuk juga turut disediakan infrastruktur lain seperti dewan makan, dewan serbaguna, kemudahan sukan dan pangsapuri kakitangan.
Centexs Mukah ini bakal menyediakan program berhubung industri minyak dan gas menerusi Akademi Minyak dan Gas dan melibatkan industri pertanian menerusi Akademi Kelapa Sawit dan Pertanian.
Turut hadir Menteri Pendidikan, Sains Dan Teknologi Dato Sri Michael Manyin dan Pengerusi Centexs Tan Sri Mohd Morshidi Abdul Ghani.— DayakDaily