CENTEXS mampu lahir generasi tenaga kerja mahir Sarawak

Jamilah (duduk dalam jentolak) menunjukkan tanda bagus di CENTEXS Kampus Lundu.
Advertisement

LUNDU, September 15: Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) Kampus Lundu bakal melahirkan generasi tenaga kerja mahir bagi negeri ini pada masa depan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Datuk Amar Jamilah Anu berkata demikian selepas majlis penyerahan kontrak pembinaan CENTEXS Kampus Lundu kepada pihak kontraktor di sini semalam.

Menurut beliau, pusat kecemerlangan teknikal tersebut akan dibina dengan kos sebanyak RM90 juta.

Advertisement

Katanya, sebelum ini majlis pecah tanah CENTEXS itu telah disempurnakan oleh  Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem yang lebih dikenali sebagai Tok Nan pada 5 Ogos 2015.

“Selepas projek pembangunan ini siap kelak, ia merupakan pusat teknikal pertama seumpamanya di Sarawak.

“Saya percaya, pusat kecemerlangan teknikal ini adalah pelaburan untuk generasi muda di negeri ini dan khususnya bagi mereka yang menetap di Lundu,” katanya.

Jamilah melihat pelan pembangunan CENTEXS Kampus Lundu.

Jamilah menambah, pembangunan pusat teknikal itu penting dalam mentransformasikan bidang kemahiran teknikal dan vokasional di negeri ini.

Jelasnya, CENTEXS akan menawarkan pelbagai program perantis dan kursus latihan bagi kemahiran yang berkaitan dengan keperluan sektor industri di Sarawak.

“Ini kerana, CENTEXS merupakan landasan terbaik bagi melahirkan kumpulan pekerja mahir dalam pelbagai bidang industri.

“Saya juga percaya usaha ini adalah bagi memacu Sarawak menjadi sebuah negeri perindustrian dan memiliki tenaga kerja berkemahiran tinggi,” katanya. — DayakDaily

Advertisement