Cegah jenayah, tanggungjawab bersama: Adun Batu Kitang

Lo (empat dari kiri) di perasmian Program Dialog Keselamatan Penduduk Kampung di Kampung Haji Baki, Kuching.

KUCHING, JULAI 27:  Penglibatan semua pihak amat penting bagi mencegah jenayah, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang Lo Khere Chiang.

Berucap di Program Dialog Keselamatan Penduduk Kampung anjuran JKKK Kampung Haji Baki hari ini, tanggungjawab itu tegas beliau bukan sahaja digalas pihak-pihak berkuasa tetapi juga semua lapisan masyarakat.

“Hampir setiap hari, media massa memaparkan berita tentang pelbagai kes jenayah sama ada kecurian, pecah rumah, rompakan bersenjata, penculikan, atau pencabulan wanita. 


“Ternyata aktiviti-aktiviti jenayah pada masa kini semakin bersifat ganas dan berani. 

“Perkara ini dipandang serius oleh kerajaan. Sesungguhnya, penglibatan semua pihak adalah amat penting bagi sama-sama mencegah jenayah,” katanya.

Justeru itu tambah Lo, tahap keselamatan yang baik bukan terletak di tangan pihak polis semata-mata tetapi ia melibatkan masyarakat setempat. 

Katanya, masyarakat setempat merupakan ‘mata dan telinga’ kepada pihak keselamatan dan harus membantu membanteras jenayah agar negara ini mempunyai kadar jenayah yang minimum.

Di samping itu tegas beliau, semangat kejiranan yang baik hendaklah diperkukuhkan untuk membanteras jenayah yang berlaku di kampung. 

“Masyarakat setempat harus mempunyai kesedaran untuk mengawasi kejadian yang berlaku di sekitar kawasan kejiranan dan melaporkan aktiviti-aktiviti yang diragui kepada pihak polis,’katanya lagi. 

Oleh itu, Lo mengajak semua masyarakat agar membuang sifat yang tidak mempedulikan jiran-jiran dan kawasan sekitar. 

Tambah beliau, usaha berterusan perlu dilakukan untuk mengurangkan kadar jenayah di samping mewujudkan kejiranan dan kawasan tempat tinggal yang lebih selamat.

Semua pihak mempunyai peranan dan tugas masing-masing dalam usaha memerangi jenayah, tegas Lo.— DayakDaily