Catuan bekalan air untuk Simunjan bermula Mac 29

Water. — DayakDaily.com file pic. // Photo: Pixabay

KUCHING, Mac 28: Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak meminta penduduk kawasan Simunjan bersedia menghadapi catuan bekalan air akibat musim kemarau ini yang akan bermula Jumaat ini.

Dalam notis jabatan itu di laman Facebook JBALB Sarawak semalam, catuan membabitkan penutupan bekalan air ke kawasan itu dari jam 10 malam sehingga 4 pagi setiap hari akan bermula pada Mac 29 sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

“Kawasan yang terjejas ialah seluruh kawasan Simunjan kecuali Hospital (Simunjan),” menurut jabatan itu.


Gangguan bekalan air terbabit adalah disebabkan kemarau berpanjangan yang mengakibatkan kekurangan air mentah di Simunjan dan catuan terpaksa dilakukan bagi menjimatkan stok bekalan air terawat.

Pengguna di kawasan Simunjan sehubungan itu dinasihatkan menyimpan stok air yang secukupnya dan bekalan air akan pulih seperti biasa selepas kolam takungan air Lepong pulih semula.

Selain itu, JBALB Sarawak juga mengumumkan seluruh kawasan Lingga di Sri Aman mengalami gangguan bekalan air sepanjang masa mulai hari ini sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

Gangguan itu adalah disebabkan terdapat masalah “filter media” di Loji Rawatan Air Bersih Lingga dan pengguna dinasihatkan menyimpan bekalan air secukupnya sepanjang tempoh gangguan serta boleh memohon penghantaran bekalan air dari jabatan itu. — DayakDaily